Wednesday, 18 April 2012

Mencari Kunci Hati


Berbicara masalah hati. Maka terlalu banyak ruang perbahasan yang kita boleh telusuri. 

الْقَلْب (Al-Qalb). Tepatnya jika ditukarkan dalam bahasa Inggeris bermaksud, heart. Jika ditukarkan ke bahasa Melayu bermaksud jantung. Cuma, kebiasaan bagi masyarakat kita mereka mengumpamakan Al-Qalb itu sebagai hati. Hmm. Ada masalahkah? 

Tiada masalah pun sebenarnya. 

Kalau kita lihat ke dalam hadith Rasulullah SAW. 

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ 
[رواه البخاري ومسلم
"Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati“.  
[HR Bukhari dan Muslim]

Jika Al-Qalb itu jantung. Maka kita semua tahu bahawa jika baik jantung itu, maka eloklah badan seseorang itu. Jika jantungnya bermasalah, maka tubuh seseorang itu juga akan ada masalah. Jika jantung itu mati, maka matilah seseorang itu. Baik mati secara real, atau secara perumpamaan. 

Sama juga jika Al-Qalb itu dilambangkan sebagai hati (liver). Basic dalam biologi masa sekolah dulu, hati merupakan platform yang akan menerima segala apa yang masuk ke dalam badan, dan akan menapisnya. Jika penapisnya elok, maka sihatlah badan itu. Jika penapisnya rosak, maka rosaklah segala fungsi badan. 

Jadi, sejauh mana jantung atau hati kita ini telah sihat atau jernih? Atau, sebenarnya ia sedang tertutup? Atau mungkin ia sedang retak? Atau mungkin ia sedang bernajis? 

Untuk memudahkan perbahasan. Saya akan menggunakan Al-Qalb itu sebagai hati. 

Amru Khalid menggunakan satu perumpamaan yang sangat tepat saya rasakan untuk menunjukkan realiti masyarakat kita hari ini dalam bukunya, Islahul Qulub. Iaitu, dia mengatakan bahawa berapa ramai manusia pada hari ini yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya hanya kerana mahu menghias pakaian atau wajah mereka kerana risau jika ia ditotoni oleh manusia dalam keadaan yang tidak cantik dan sempurna. Tetapi, berapa ramai pula di antara manusia yang merisaukan hampir seluruh hidupnya mengenai satu objek yang mungkin tidak dapat dilihat oleh mata manusia, tetapi ianya menjadi tumpuan oleh Allah SWT. 

"Allah tidak memandang pada rupa-rupa dan harta-harta kalian, tetapi Dia memandang pada hati-hati dan amal-amal kalian." 
[HR. Muslim]

Adakah hati kita sedang bernajis? Atau ianya sedang retak? Atau ia sebenarnya sedang tertutup? atau ia seperti air yang jernih…

Berkata Saidina Ali bin Abi Talib, 

“Bekas-bekas Allah di dlaam dunia ini adalah hati. Hati adalah tempat turunnya rahmat, juga mengandungi ilmu pengetahuan."

Habib Muhammad Assagaf, salah seorang panel dalam laman Fattabiouni, dia mengatakan bahawa, para ulama membahagikan hati kepada empat bahagian.
- Hati yang dicemari najis  
- Hati yang pecah  
- Hati yang tertutup 
- Hati yang suci, yang menghadap ke langit 
Kita boleh umpamakan hati kita ini seperti bekas. 


Hati yang dicemari najis 

Bagi hati yang tercemar dengan kotoran. Kita boleh melihat ianya seperti satu bekas yang penuh dengan kotoran dan najis. 

Contoh najis itu adalah sombong, hasad, bohong berlagak dengan manusia. Jika kita umpamakan air itu sebagai rahmat dan ilmu Allah SWT, maka air yang masuk ke dalam bekas ini tidak akan membawa manfaat ke dalam bekas tadi, tetapi sebaliknya ia akan tercemar dengan najis yang ada.
“Tidakkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan mereka, dan disesatkan oleh Allah dengan ilmu mereka,”  
[QS Al-Jatsiyah, 45:23] 

Ilmu tetap masuk! Tetapi kerana setitis hawa nafsu, ia dapat mencemarkan selautan ilmu. Inilah perumpamaan bagi hati yang dicemari najis. Dia mungkin seorang yang belajar ilmu, tetapi ilmu yang dimilikinya itu tidak berjaya mencetuskan perubahan dalam dirinya dan dalam diri orang lain untuk menjadi lebih baik. Kerana dosa meliputi apa yang dimilikinya. atau lebih malang, air tadi akan memburukkan lagi keadaan bekas tadi!


Hati yang pecah. 

Hati ini adalah pemilik kepada pelaku maksiat. Setiap kali dia melakukan kebaikan, dia akan melakukan maksiat selepas itu. Setiap kali dia melakukan kebaikan, dia kan melakukan maksiat selepas itu. Hadir ke majlis yang mulia, tetapi bila keluar sahaja dari majlis itu, terus mengumpat orang lain. Selepas memegang biji tasbih, berzikir atau solat dua rakaat, terus buka televisyen dan menonton adegan-adegan yang diharamkan. 

Maka, tidak sempat pun rahmat itu kekal di dalam hati melainkan ia keluar, disebabkan oleh kemaksiatan.
Hati tertutup dan terkunci

Ini adalah ciri hati yang paling bahaya jika dimiliki manusia. Bagaimanapun tercurah rahmat ke atasnya, turun air ke atasnya, ia tidak akan masuk ke dalam bekas ini kerana ianya tertutup dan terkunci. 

Ini adalah contoh untuk hati mereka yang suka membangkang. Membangkang Allah, orang-orang soleh. Bila dia hadir ke majilis yang baik, dia akan mencari-cari kesalahan orang lain. Apabila ada orang sedang solat, dia melihat orang tersebut solat dalam keadaan yang tidak sahih. Dia juga ada maslaah seperti derhaka kepada ibu bapa, memutuskan hubungan silaturrahim. Ini semua adalah perkara yang sebenar-benarnya menutup hati! Tidak dapat dimasuki rahmat ke dalam hatinya.
"Maka tidakkah mereka menghayati al-Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?" 
[QS Muhammad, 47:24]

Hati yang jernih, bersih dan menerima 

Adapun hati yang keempat ini, kita berharap ianya merupakan hati kita bersama. Hati ini dengan hanya ibadah yang sedikit, sekiranya hadir ke majlis yang baik, solat dan berzikir kepdaa Allah, terus kita akan mendapati hati ini penuh dengan kebaikan dan rahmat. Inikan pula jika dia menyirami hatinya dengan suasana tarbiyah dan dakwah. Pastinya lebih menyenangkan.

Rahmat dan ilmu akan terus memasuki hatinya. dan terus mencorakkan hatinya itu dengan sangat cantik. Tanpa sebarang cela.

Carilah ubat

Ramai daripada manusia secara umumnya akan terkesan apabila mendengar atau membaca tazkirah mengenai hati. Tetapi persoalannya, 

“Apakah ubatnya? Apa ku nak buat? Aku tahu hati aku ni rosak, hati aku kotor dan aku tahu memang hatiku begini. Apa ubatnya?” 

Langkah yang paling penting sebelum kita mengubati satu-satu penyakit ialah mengenal pasti apa jenis penyakit yang kita hadapi. Perkara ini mungkin diabaikan oleh kebanyakan masyarakat, tetapi 70% atau 80% daripada proses pengubatan adalah dihabiskan untuk mengenal pasti penyakit sebenar. Agar tak buang masa dan tenaga untuk sesuatu yang tidak pasti. Begitu dalam proses mengubati hati kita. 

"Wahai Pembolak-balik hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu!" 
[HR Tirmidzi dan Ahmad]

Kita perlu mengenal pasti sama ada hati kita ini sebenarnya sedang kotor bernajis atau sedang pecah atau sedang tertutup. Agar mudah untuk kita mengubatinya dengan cara yang sepatutnya. 

Jika hati kita sedang kotor dengan najis, maka bersihkanlah dengan amal-amal kebaikan dan taubat. 

Jika hati kita sedang retak dan pecah, maka perbaikilah ia. Atau gantikan ia dengan hati yang baru. 

Jika ia sedang tertutup, maka carilah di mana kuncinya dan belajarlah untuk menerima. 

Jika ianya sudah sedia bersih dan suci, maka “prevention is better than cure”. Jaga ia baik-baik. Kerana hati yang bersih dan ikhlas itulah tempat tersimpannya keimanan. Dan ketakwaan. Sabda Rasulullah SAW sambil menunjukkan ke arah dadanya, 

“Takwa itu di sini.” 

Mulakan dengan belajar membaca al-Quran, solat diawal waktu dan berjemaah di surau atau masjid. Melatih diri untuk melakukan solat-solat seperti Tahajjud dan Dhuha, menghadiri majlis-majlis ilmu serta program-program keislaman. Sedikit demi sedikit.
Libatkan diri bersama dakwah dan tarbiyah. Itulah medan yang terbaik dalam mahu mendekatkan diri kita dengan Allah menurut Dr. Yusuf Taufik Al-Waiy dalam bukunya, Dakwah Ila Allah.

Jika kita mahu menjadi anak yang baik, dakwah adalah jalannya.

Jika kita mahu menjadi suami atau isteri yang baik, dakwah adalah jalannya.

Jika kita mahu menjadi ayah atau ibu yang baik, dakwah adalah jalannya.

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." 
[QS Al-Hadid, 57:16]

Belum tibakah masanya atau kita mahu menanti masa itu berlalu hingga hati kita menjadi keras?
"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan." 
[QS al-Baqarah, 2:74] 

Malanglah kita jika hati kita telah menjadi keras.
"Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. mereka itu dalam kesesatan yang nyata." 
[QS Az-Zumar, 39:22]

Kata-kata Munir Muhammad al-Ghadban dalam bukunya Manhaj Haraki,

"Setiap hati memiliki mangga-mangga pengunci tersendiri. Tugas seorang da'i ialah berusaha memiliki kunci dari mangga-mangga tersebut dan mengetahui dari mana ia harus memasukinya, sampai hati tersebut menyambutnya. 
[Munir Muhammad al-Ghadban, Manhaj Haraki Jilid 1, m/s 22 (Robbani Press)]

Jagalah hati. Carilah kunci untuk hati kita dan hati mereka yang berada disekitar kita.

Jika kau merasa besar, periksalah hatimu 
mungkin ia sedang bengkak 
Jika kau merasa suci, periksalah jiwamu  
mungkin itu putihnya nanah dari luka nurani 
Jika kau merasa tinggi, periksa batinmu 
mungkin ia sedang melayang kehilangan pijakan 
Jika kau merasa wangi, periksalah ikhlasmu 
mungkin itu adalah asap dari amal solehmu yang hangus dibakar riya' 
[Salim A. Fillah, Dalam Dekapan Ukhuwah, m/s 104 (Pro-U Media)]

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...