Salam pembaca semua. Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang yang dikasihi semuanya. Yang dikasihi dan disayangi kerana Allah. Teringat kata-kata Syaikh Ourazi, jika kita mahukan kebaikan dan Jannah, maka sayangilah rakan kita kerana Allah. Sayangilah saudara seMuslim kita kerana Allah dan tidak cukup dengan itu, kita perlu 'beritahu' atau maklumkan kepada mereka bahawa kita menyayangi mereka kerana Allah.
Sangat menyentuh hati apabila tiba-tiba menerima kiriman SMS yang berbunyi "Dina atau Dear sister, I LOVE YOU LILLAH" MasyaAllah. I Love you sudah cukup power, sudah cukup membuatkan kita tersenyum dan rasa dihargai, tetapi I LOVE YOU LILLAH. "Saya sayang kamu kerana Allah", memberi satu dimensi yang sungguh berbeza sekali.
Ini bererti kita menyayangi rakan atau sahabat kita bukan kerana rupa, pangkat, harta atau kelebihan lain tetapi semata-mata kerana Allah. Tiada agenda tersembunyi yang lain. MasyaAllah hebatnya, ikhlasnya, indahnya!
Jadi untuk permulaan, sebelum kita membicarakan yang cantik-cantik, mari berhenti seketika dan kirimkan SMS atau berhenti dari membaca, hubungilah rakan kita dan ucapkanlah "Sister, I Love you Lillah, for the sake of Allah" Lihatlah kesannya. Moga persahabatan kalian kekal selamanya, bersama susah dan senang dan moga bertemu di Jannah! Amin! (Ada pengecualian ya! Sisters tolong ucapkan pada sisters sahaja, brothers pada brothers sahaja).
Baiklah, saya mahu fokuskan tulisan saya kali ini mengenai satu realiti kehidupan yang tidak berapa cantik! Setiap dari kita pernah atau masih menjadi mangsa. Saya lebih lagi, kerana menjadi mangsa dari remaja sehinggalah dewasa. Baru kini sedikit demi sedikit saya sedang menilai diri semula, berusaha menghakis apa yang ada di dalam minda saya yang sudah lama diracuni. Memohon ampun atas dosa saya membiarkan diri menjadi mangsa sekian lama. Saya akui saya telah melakukan dosa. Semoga Allah mengampuni saya! Jika melihat gambar saya yang lalu, ampunkanlah saya adik-adik semua, jangan ditiru! Itulah namanya mangsa keadaan, moga ada hikmah disebaliknya, moga ini dijadikan pengajaran buat saya dan anda semua.
Mari kita berbicara bagaimana minda kita sudah dipengaruhi dan diracuni secara TIDAK sedar atau pun separa sedar, untuk sentiasa tidak bersyukur dengan mata, badan, hidung, kulit atau pun rupa kita! Kita selalu merasa diri KURANG SEMPURNA! MasyaAllah jika kita benar-benar bahawa Allah itu Al Musawwir, Al Bari sebaik-baik pencipta - maka tidak mungkin kita mengeluh.
Mana tidaknya, tiap-tiap bulan, tiap-tiap hari kita disogok dengan gambar dan imej "kesempurnaan" yang dicedok dan berkiblatkan barat. Majalah VOGUE yang bermula dari tahun 1969 membawa fokus kepada tubuh badan wanita! Kita pun merasakan PERLU untuk ikut! Menurut (Kenrick & Guthrie) Wanita yang dikelilingi wanita-wanita cantik – di persekitaran mahupun majalah atau filem – akan merasa rendah diri dan merasa diri mereka kurang menarik.
Ya, ini termasuk lelaki kerana mereka merasakan itulah dia 'cantik', dan mengharapkan wanita mereka 'cantik' seperti yang ada dalam majalah dan TV. Tanpa sedar, kita terus membeli majalah begini, membiarkan diri merasa kurang cantik dan kurang sempurna! Saya sudah berhenti! Berhenti membeli majalah ini. Kerana saya yakin Allah menyempurnakan kejadian saya dengan sebaiknya! Beli majalah SOLUSI dan Gen-Q MasyaAllah membuatkan saya mahu lebih cantik dari dalam Alhamdulllah! Ya, apa yang kita baca dan apa yang kita lihat amatlah mempengaruhi kita.
Krim muka untuk memutihkan kulit, pusat pelangsingan badan yang meracuni minda (saya juga menjadi mangsa seketika dulu) dan alat solek yang beratus jenama dan fungsi sebenarnya merupakan satu empayar bisnes bernilai jutaan ringgit.
Empayar ini terus 'hidup' dengan membuatkan wanita merasa TIDAK cantik supaya "kami " (golongan hawa) membeli produk mereka. (Jangan dicerita bahan yang dimasukan kedalamnya, tidak pernah kita ambil peduli segala racun dan bahan tidak selamat lagi tidak halal) Dengan terus menyogok di dalam minda bahawa kita 'kurang sempurna' maka kita TERPAKSA membeli produk mereka. Strategi 'marketing' mereka menunjukan bagaimana mudahnya kita, orang Islam Melayu ditipu. Sangat mudah dipengaruhi.
Tidak berhenti bertanya kepada diri seketika. Perlukah? Selamatkah? Benarkah apa yang mereka dakwa ini? Kajian menunjukan bahawa ketika zaman kegawatan ekonomi, peningkatan jualan kosmetik semakin meningkat. Ya hakikatnya kita merasakan kita perlu segala 'tambahan kosmetik palsu' ini untuk merasa yakin! Sedih bukan?
Tahukah anda di Malaysia untuk jadi jutawan segera adalah dengan memulakan bisnes kosmetik. Cuma tukar jenama, ambil dari kilang yang sama, janji dengan bermacam janji dan lakukanlah sedikit promosi. Jutawan sekelip mata! Allah, mari kita duduk sebentar untuk berfikir adik-adik.
Bagaimana kita menilai cantik? Tak cantikkah seorang wanita yang tiada baju berjenama dan solekan diwajah namun kaya dengan ilmu, santun, adab dan akhlak?
Bagaimana kita menilai cantik? Tak cantikkah seorang wanita yang tiada baju berjenama dan solekan diwajah namun kaya dengan ilmu, santun, adab dan akhlak?
Akhir kata, cukuplah kita berkiblatkan barat untuk menilai 'cantik' cukuplah menggunakan J.Lo dan Angelina Jolie sebagai 'rujukan' kita. Cukuplah kita tiru mata, solekan, pakaian, rambut mereka. Yakinlah dengan mengatakan Allah menciptakan saya sebagai insan cukup sempurna. Rujuk Quran surah Tin "Sesungguhnya manusia diciptakan sebaik-baik kejadian". Tak usah rasa rendah diri kalau kita tidak seperti apa yang majalah atau barat 'kata' sebagai cantik. Yakinlah dalam diri yang lebih penting ialah apabila kita cantik dengan adab, akhlak, islam, iman dan ihsan. Sesungguhnya saya juga sedang membina keyakinan ini dalam diri saya dan anak-anak. Cantik BUKAN fizikal semata.
Hiduplah dengan nama Allah Al-Jamil. Namun cantik dalam erti yang sebenar. Cantik dalam sabar dan memberi maaf itulah akhlak yang cantik. Cantik kerana mengucapkan yang benar, kerana hati penuh keikhlasan mencari kebenaran, cantik kerana ketaatan kita kepada Allah.
Sebelum berakhir kita renung satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Masood. Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Seseorang tidak akan masuk syurga sekiranya mempunyai secubit pun perasaan sombong. Maka ada hamba Allah yang bertanya: Jika seseorang itu suka memakai pakaian dan kasut yang cantik? Rasulullah SAW menjawab "Allah itu Maha Cantik dan Allah mencintai kecantikan. Sombong itu adalah mengejek dan menolak kebenaran dan merendahkan orang lain" (Bukhari)
Bukan tak boleh cantik, cuma mari nilaikan semula definasi cantik kita selama ini. Definasi siapa yang kita pegang? Jika bertemu dengan orang lain, elakkan dari menuji kecantikan mereka dahulu. Menilai orang dengan hanya kecantikannya adalah merendahkan martabatnya. Sebagai seorang wanita, saya mahu lebih dari cuma cantik! Diri saya berharga BUKAN kerana cantik saya, tetapi ilmu, adab dan akhlak saya InsyaAllah. Mari bina keyakinan dri situ. Saya yakin kita akan lebih dihormati dan disayangi InsyaAllah oleh Allah dan manusia. Wallahu'alam
Salam Sayang,
-WARDINA-
-WARDINA-
0 comments:
Post a Comment